Tajdid Iman: Mukmin sejati mesti sabar hadapi ujian
Bersama Dr Juanda Jaya
SUATU hari, tiba-tiba Allah SWT menentukan turunnya bala ke atas diri dan keluarga kita. Hati dan perasaan kita mencari dan bertanya, apakah salah dan dosa yang dilakukan? Mengapa begitu susah mententeramkan hati dengan berprasangka baik kepada Allah SWT? Kita berusaha memujuk diri dengan satu kefahaman bala dan ujian itu akan Allah SWT balas dengan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang hilang di tangan anda.
Allah SWT sentiasa memilih yang terbaik untuk diri kita. Adakah patut kita mendahului Allah SWT dalam setiap pilihan-Nya? Manusia berkata dalam hati: Alangkah eloknya jika begini dan begini.?Adakah manusia itu mengetahui seperti mana Allah SWT Mengetahui? Yang sehelai daun gugur di serata bumi ini pun tidak akan gugur kecuali dengan pengetahuan-Nya? Alangkah naif manusia jika ia merasa dirinya lebih tahu apa yang terbaik buat dipilih.
Saidina Umar bin al-Khattab, pernah berputus asa ketika kemenangan Islam tidak muncul. Pada hal di sisi beliau ada Rasulullah SAW. Perasaan putus asa Umar ini jauh lebih bernilai daripada rasa putus asa kita yang kehilangan dunia, anak atau isteri.
Perasaan putus asa Umar adalah mewakili Islam dan kesetiaannya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Manakala perasaan putus asa kita mewakili kepentingan dan ego dalam diri sendiri. Umar meratap sedih: Wahai Rasulullah bukankah kamu utusan Allah? Bukankah Agama ini benar??Rasulullah menguatkan semangat sahabatnya: Sesungguhnya Aku adalah seorang hamba Allah dan sudah tentu Dia tidak akan membinasakan diriku.?(Sirah Nabawiyah oleh Dr Mustafa al-Sibaie)
Kata-kata keramat Baginda ini sudah selayaknya menghiasi hati orang mukmin yang bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Jika kita mahu menelusuri selok-belok kehidupan ini, ujian dan cabaran itu sebenarnya membuat anda menjadi lebih kebal. Tidak mudah goyah dan mampu melompat lebih tinggi.
Orang yang memenangi pertarungan itu sebenarnya bukan yang kuat tetapi yang paling mampu menahan sakit. Lihatlah mereka yang berjaya. Di atas kesakitan itu mereka membina kekuatan, rela tidak tidur untuk kerja yang perlu diselesaikan. Mereka yang berjaya begitu disiplin dan menghargai kesakitan yang diderita. Allah SWT menguji siapakah yang paling baik imannya dan paling reda dengan qada dan qadar-Nya.
Dr Yusuf Al-Qaradawi, dalam kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan: Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri daripada pelbagai kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan kegagalan, ditinggalkan kekasih, penyakit menyerang tubuh, kehilangan harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah bermaksud: Perumpamaan orang beriman yang ditimpa ujian bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilang karat dan tinggal yang baiknya saja.?
Beliau juga meminjam kata-kata seorang ulama: Setiap kali aku ditimpa ujian duniawi, terbayang olehku tiga kurniaan Tuhan. Yang pertama, cubaan itu tidak menjejaskan agamaku. Yang kedua, aku tidak ditimpa bahaya yang lebih besar dari itu. Yang ketiga, aku mendapat pahala dari Allah SWT kerananya.
Betapa indahnya ungkapan semangat yang mencerminkan kekerasan hati orang beriman. Seperti mana kata-kata Saidina Urwah bin al-Zubair saat menghadapi sakit sehingga anggota badannya diamputasi dan kematian anak lelakinya: Ya Allah, di atas kesedihan ini hamba memuji-Mu, Engkau memberiku tujuh orang anak, lalu Engkau mengambilnya satu. Aku tidak menyesal, bukankah Engkau tinggalkan untukku enam orang lagi? Kaki dan tanganku semuanya empat dan Engkau hanya ambil satu saja daripada mereka. Bukankah ada tiga lagi yang sepatutnya aku syukuri? Kalau Engkau yang mengambil maka Engkau juga yang memberi. Kalau Engkau yang menurunkan bala, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan.?
Itulah hikmah sebenar mengapa Allah SWT menguji, supaya tumbuh jiwa hamba pada diri kita. Tiada ego melampau dan menganggap akulah yang kuat lalu menzalimi orang lain. Kerana ada Yang Maha Kuasa yang serta merta boleh merenggut ubun-ubunnya dan menghapuskan apa saja yang dimiliki.
Firman Allah SWT bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad: Mahukah Kami khabar kepadamu orang yang amat merugi perbuatannya? Iaitu orang sesat perbuatannya sewaktu hidup di dunia sedangkan mereka mengira perbuatannya itu adalah kebaikan.?
Firman Allah:
103. Katakanlah: "Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?"
104. Yaitu orang-orang yang Telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.
(Surah Al-Kahfi: 103-104)
Manusia merancang, Allah menentukan. Jika seorang bapa kehilangan anaknya nescaya Allah membalas dengan Baitul Hamdi (sebuah istana khusus di syurga) kerana kesabarannya. Bagaimana pula orang yang cekal di atas bala lebih teruk daripada itu? Balaslah ujian Allah SWT dengan lafaz pujian dan syukur kepada-Nya, kerana ia tanda kasih sayang Allah SWT ke atas diri kita.
Penulis ialah pendakwah dari Negeri Sarawak, boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
0 comments:
Post a Comment